Nuffnang

Tuesday, 13 November 2018

BBM3410/18: CARA MENGATASI SAKIT TULANG BELAKANG

Assalamualaikum dan salam sejahtera, semoga Allah memberikan kesihatan yang baik kepada kalian walau di mana jua berada.

Cegah Sebelum Kena. Ini bukan iklan nyamuk wahai saudara saudari. Tapi tentang sakit belakang sebelum waktunya.

Ceritanya semalam nak tunduk dan capai barang yang jatuh dari meja. Tak tahulah sebab salah teknik ataupun sebab apa tapi terus tak boleh tegakkan badan. Ke sebab dah tua? Atau sebab dah gemuk?  😱 Entahlah kenapa.. Dekat 2 jam juga nak hilang tegangnya urat belakang. Jadi ini untuk perkongsian semua.. mencegah lebih baik daripada merawat. Ateee jomlah kita cegah sebelum kena.

*****
Rawatan
Sakit belakang yang biasa boleh dihilangkan menerusi :
  • Rehat yang cukup
  • Regangan pada bahagian belakang
  • Fisioterapi
  • Menggunakan ubat sapu
  • Ubat penahan sakit
Rawat sakit belakang
Pencegahan
  • Amalkan postur (kedudukan badan) yang betul ketika duduk, berdiri dan mengangkat berat
  • Berehat untuk meregangkan belakang badan
  • Elakkan kecederaan pada bahagian belakang badan
  • Lakukan pemeriksaan kesihatan yang berkala, seperti Pap Smear untuk mengesan Kanser Pangkal Rahim
  • Kekalkan berat badan unggul
  • Sekiranya anda telah menopos, dapatkan kalsium dan zat yang cukup untuk mencegah osteoporosis
  • Kekalkan cara hidup sihat
Pemulihan
Pemulihan melibatkan pengambilan ubat-ubatan seperti penahan sakit, fisioterapi (Pemulihan Anggota) dan Pemulihan Cara Kerja.

*****


Semoga bermanfaat!

Oleh: SN Hidayah

Kredit : Portal Rasmi MyHEALTH Kementerian Kesihatan Malaysia

Monday, 12 November 2018

BBM3410/18: KAEDAH PEMBELAJARAN SEJARAH SECARA BERKESAN

Kelas: Pendidikan Sejarah Islam
Pengajar : Ustazah Fathiyah (UPM)

NUR NAJIEHAH BINTI RAHIM
SITI NUR HIDAYAH BINTI SAPIEE

Pengajaran dan pembelajaran sejarah merupakan salah satu subjek yang sukar untuk menarik perhatian pelajar.  Walau bagaimanapun, subjek ini akan menjadi lebih menarik bagi pelajar sekiranya pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan dengan beberapa variasi teknik pengajaran. Antara teknik-teknik pengajaran sejarah yang boleh digunakan ialah teknik penceritaan, ganjaran dan dendaan, dan juga menayangkan video atau menunjukkan gambar-gambar yang berkaitan topik.

Teknik bercerita sesuai digunakan dalam pengajaran sejarah kerana pelajar dapat memberi gambaran yang lebih jelas tentang sesuatu topik yang diajarkan. Dalam teknik penceritaan ini, pengajar boleh menggunakan intonasi yang berbeza dan gaya bahasa yang indah mengikut kesesuaian cerita. Intonasi yang tinggi digunakan untuk memberi penegasan contohnya pada bahagian pengajaran dalam seuatu cerita. Intonasi yang rendah dan berubah-ubah pula sesuai untuk mempengaruhi emosi pelajar bagi cerita seperti saat-saat kejatuhan islam, kewaafatan nabi dan lain-lain. Dengan cara ini, pelajar akan lebih terkesan dan memahami topik yang diajarkan secara  keseluruhan. 

Selain itu, teknik ganjaran dan dendaan juga boleh digunakan sewaktu pengajaran subjek ini. Ganjaran diberikan kepada pelajar yang memberi perhatian dan dapat menjawab soalan yang diajukan oleh pengajar, sebaliknya dendaan pula dikenakan kepada pelajar yang tidak memberi perhatian seperti bermain talifon sewaktu pengajaran. Antara ganjaran yang boleh diberikan adalah seperti pujian, tepukan, hadiah, penambahan markah dalam ujian dan lain-lain. Bentuk dendaan pula adalah seperti, pelajar perlu menceritakan kembali apa yang mereka faham dalam topik yang diajarkan. Oleh itu, teknik ganjaran dan dendaan ini amat sesuai dan memberi kesan positif kepada pelajar agar mereka lebih memberi tumpuan kepada pembelajaran subjek sejarah ini. 

Teknik yang terakhir adalah dengan menayangkan video atau gambar-gambar yang berkaitan topik diajarkan. Video seperti tokoh-tokoh islam, cerita kehidupan orang arab pada zaman nabi, gambar peta tanah arab dan juga gambaran tentang kegemilangan islam pada zaman Sultan Muhammad Al- Fateh. Tayangan video seperti ini sebenarnya sangat memainkan peranan penting dalam menarik minat pelajar. Hal ini seiring dengan perkembangan abad 21 para pelajar terdedah dengan kemajuan teknologi. Oleh itu, video atau gambar menjadikan mereka lebih tertarik  terus mempelajari sejarah.

Kesimpulannya, subjek sejarah sebenarnya sudah sangat menarik untuk dipelajari apatah lagi ditambah dengan teknik-teknik di atas. Teknik-teknik tersebut dapat meninggalkan pelbagai kesan dan iktibar kepada pelajar. Oleh itu, pelajar akan lebih memahami topik yang diajarkan secara  keseluruhan, serta memberi kesan positif kepada diri pelajar agar mereka lebih memberi tumpuan kepada pembelajaran.


Semoga bermanfaat 💓


Oleh: SN Hidayah


BBM3410/18: Pejabat Pendidikan

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Semoga sihat dan ceria sahaja hari ini.

Diam tak diam dah sem akhir.
Sayang nak tinggalkan UPM.. Orang kata tempat jatuh lagi dikenang. Bila tahun akhir, macam-macam rasa. Baru je selesai habiskan latihan industri (LI) masa cuti sem, tiba-tiba dah nak habis belajar.


Macam-macam soalan orang tanya. macam mana LI di Pejabat Pendidikan? Jadi nak kongsilah beberapa perkaitan antara subjek yang saya ambil di universiti dengan latihan industri di Pejabat Pendidikan.


Perkaitan Antara Program Major dan Aktiviti Latihan Industri
  i.   BBM 3203 - Tatabahasa Melayu
Kemahiran menggunakan tatabahasa yang betul sangat diperlukan memandangkan pelatih banyak menaip surat-surat untuk pelbagai program dan memuat naik artikel. Isi surat tidak boleh mempunyai kesilapan sama ada nombor rujukan sehinggalah ke ayat terakhir. Hal ini kerana kesilapan kecil yang dilakukan boleh menyusahkan pelbagai pihak.

                  ii.   BBM 3413 - Kaedah Penyelidikan Bahasa Melayu
Sepanjang menjalani latihan industri di PPD Batu Pahat, banyak kerja menganalisis yang telah dilakukan terutamannya untuk projek latihan industri. Setiap analisis yang dilakukan perlu ditulis dalam bentuk laporan dan adakalanya perlu dihasilkan dalam bentuk graf. Kemahiran menganalisis yang dipelajari dalam kelas BBM 3413 sedikit sebanyak membantu pelatih dalam membuat analisis.

                         iii.  BBM 3107 - Pemikiran Kreatif dan kritis
Semasa menjalani latihan industri, pelatih perlu kreatif untuk menyelesaikan masalah. Kemahiran untuk berfikir secara kritis dan kreatif dalam menyelesaikan kerja-kerja yang diberi. Contohnya, dalam menguruskan masalah-masalah seperti terdapat beberapa sekolah yang sedikit sukar untuk bekerjasama dalam memberi data yang diperlukan. Selain itu, sewaktu bekerja di dalam unit ini, aku banyak belajar bagaimana untuk mengendalikan program-program tertentu dengan minima pantauan daripada pegawai. Oleh hal yang demikian kemahiran berfikir secara “critical thinking” sangat diperlukan.

 iv.    BBM 3303 - Dialektologi dan laras bahasa
       BBM 3107 -  Stilistik
Memandangkan pelatih ditempatkan di Unit Akademik, pelatih banyak terlibat dalam urusan rasmi sama ada dalam komunikasi mahupun penulisan. Setiap tulisan sama ada dalam surat menyurat ataupun sebarang dokumen perlulah menggunkan laras bahasa rasmi. Hal ini termasuklah dalam berkomunikasi. Gelaran seperti YB,  Tuan, Haji, Cik, Puan ataupun Cikgu haruslah diunakan bersesuaian dengan pangkat dan gelaran setiap individu di sini. Apatah lagi jika pelatih perlu berurusan dengan pihak sekolah jika diminta. Kemahiran berkomunikasi dengan baik sangat diperlukan.  Dalam hal ini, apa yang telah dipelajari mata pelajaran ini perlulah diaplikasikan. Kesemua kemahiran ini ada dipelajari dalam kursus BBM 3303 dan BBM 3107.

Jadi.. siapa kata LI kat sini tak ada kerja. Setiap hari belajar benda baharu. Dah rasa macam lipas kudung berlari sana sini. Pegawai dan PT kat sini pun memang efisien sangat. Kerja mesti tepat waktu tetapi langsung tiada stress. Seronok! Terima kasih PPD BP. I LOveee you Dr.Jamaiyah Penyelia LI bagi markah cemerlang gemilang,terbilang pada hambaaaa
p/s:Perancangan Allah adalah yang paling indah. Kita rasa apa yang kita minta itu baik untuk kita sedangkan apa yang DIA beri adalah yang terbaik.


Oleh: SN Hidayah

Sunday, 11 November 2018

BBM3410/18: Kreatif ke?

Assalamualaikum dan salam sejahtera. 
Rasa seronok pula bila susun fail-fail. Waktu macam nilah baru nak jumpa kertas jawapan yang konon-konon sembunyikan sebab tak nak orang tahu markah sendiri yang memalukan dan juga khazanah-khazanah daripada sem 1, dan nota-nota lama yang terkena sambal nasi lemak lejen mak cik kafe. Maka terjumpa pula puisi ni. Puisi sem 1 kelas Penglahiran Bakat Kreatif.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
HANTARAN

Geleng  kepala
Melihat kejahilan  manusia
Aku bersuara bukan kerana
Hebatnya ilmu dalam dada
Tapi resah
Aneh masalah masyarakat kini
Sibuk mencari kesempurnaan
Salah orang dicari salah sendiri pejam mata.

Hai... sakit kepalaku
Mungkin kerana banyak berfikir
Memang ini bukan hal aku
Namun ia sangat mengganggu.

Sana-sini hantaran
Cakap-cakap orang buat aku rimas
Hairan hanya kerana wang hantaran jadi taruhan
Masjid ingin dibina dibubarkan
Sudahnya masyarakat sekeliling pandang memandang
Habis dicanang maruah keluarga si polan.

Mana pergi niat indah?
Masjid kukuh bersulam bahagia
Janji laut merah sanggup di redah
Tapi akhirnya berpatah balik berpaling tadah
Hanya kerana wang hantaran menjadi punca
Sayang...
Maruah keluarga dicampak hilang.

Biar aku simpulkan
Zaman ini kehidupan mencabar
Wang dilihat umpama nyawa
Wang datang dahulu kasih sayang kemudian
Sengaja mata dipejam
Hati dikelabukan
Inilah akibatnya jika ajaran islam tidak dijadikan landasan

Cukuplah manusia bertelagah
Biar duniaku terasa aman
Dari berita tak masuk dek akal.

*******
Jadi anda rasa saya kreatif ke? Hahaha

Oleh: SN Hidayah

BBM3410/18:TIPS BERUCAP SECARA IMPROMPTU

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Semoga Allah merahmati kalian dengan rahmat nur dan kasih sayang.

Harini aku berbesar hati untuk kongsi macam mana nak berucap dengan baik. Semoga memberi manfaat. Sangat mudah dan ringkas. 

Tips ini sangat membantu orang macam saya yang mudah sangat gugup bila berucap depan audiens lepastu pura-pura macam tak gugup. Tips ni juga membantu kawan-kawan yang selalu kalau berucap dalam majlis-majlis impromptu pun kena ada teks panjang-panjang tulis kat kertas. Lepastu bila teks hilang mulalah rasa cemas dan gelabah semacam (aku juga tu,dah berlaku sebab selalu letak tempat lain cari tempat lain).

Senang cerita,tips ini sebenarnya sangat bermanfaat untuk tuan-tuan dan puan-puan, adik, abang, kakak serta ahli jawatan kuasa kampung dalam program-program dan majlis-majlis tertentu yang memerlukan kita atau mewakili seseorang berucap secara impromptu.
Lupa nak cakap, Impromptu ialah ucapan tanpa persediaan (tiba-tiba/spontan).

Bentuk Ringkas :
1. Salam
2. Pertama  sekali syukur...
3. Seperti sedia maklum...
4. Harapan..
5. Terima kasih. 

1. Salam
Beri salam  bukan kirim salam ya (bak kata Dr. Rizal). Kalau bukan muslim, gunalah Salam sejahtera. Pokok pangkalnya setiap ucapan mesti ada pembuka. Salam ni untuk tunjuk hormat dan tanda mula nak berucap. Boleh masukkan sekali kata sapaan kepada tetamu kehormat (jika ada) dan ucapan terima kasih kepada pengacara.

2. Pertama sekali syukur…
Nyatakan kepada siapa kita bersyukur (Tentu kepada Tuhan), dan kenapa?
Contoh: Pertama  sekali syukur kehadrat illahi kerana saya/kita dapat  berkumpul hari ini/menerima anugerah ini/menyambut hari lahir …

3. Seperti sedia maklum…
(Nyatakan majlis apa… atau apa tujuan majlis)

4. Harapan saya..
Contoh: harapan untuk bertemu lagi/dapat menerima anugerah ini pada tahun hadapan/ dan lain-lain

5. Terima kasih.
Boleh juga selitkan pantun. Tapi pernah je dulu aku nak bagi pantun (rasa macam seronok kalau ada pantun) tapi lepastu separuh pantun je dapat, yang selebihnya lupa. Sudahnya kena gelak jelah, aku pun gelak sekali. Nak tutup malu je.


Ok… Dah siap!
Eh dah habis ke?

Yaa, ini je. Format yang mudah tetapi merangkumi keseluruhan perkara yang kita nak ucapkan. Tak perlu lagi gigih tulis teks pada kertas yang panjang-panjang untuk majlis-majlis impromptu macam Sambutan Hari lahir, Majis Penyampaian Hadiah, Sambutan hari raya dan juga Majlis Perpisahan.

Ilmu ni aku dapat pun daripada Dr. Rizal Rashid. Sangat membantu.

Semoga bermanfaat. In Shaa Allah. Ambil yang baik, yang tak baik tinggalkan. Maaf dan terima kasihhh.

Abaikan tulisan cakar ayam tu..

Oleh : SN Hidayah
Kredit : Dr Rizal Rashid

Wednesday, 7 November 2018

BBM3410/18: Surat cinta

Assalamualaikum.. dan salam sejahtera. Semoga dirahmati Allah sentiasa.

Apa khabar agaknya pak cik polis yang tahan kami haritu ya

Al kisah.. (baca dengan nada ala-ala bercerita 😆)
Pada suatu petang yang hening... bersama sahabat tercinta,
Baru sahaja selesai rakam video keterampilan yang direkod adalah agaknya sampai lebih 10 kali tapi tak jadi. Heee akhirnya berjaya dan mahu pulang ke kolej yang dicintai lagi sangat dicintai.

Berboncenganlah kami daripada fakulti sehingga ke kolej. Tup... tupp... tak sempat sampai ke kolej, kat depan PKU lagi dah kena tahan pak cik polis tu. Panggil pak cik sebab memang pangkat pak cik bukan sebab tak hormat yaa.. (Polis tu bahasakan diri dia)

Beliau minta lesen dan IC. Dalam hati, sahhh tak boleh lari. Sempat buat muka tak bersalah. Memang kena saman lepas tu, sebab tak pakai helmet. Dapatlah aku surat cinta yang sangat ditakuti oleh semua pelajar UPM yang dalam proses penjimatan wang termasuklah aku. Sebab pelajar UPM ni tak takut hantu tapi sanggup lari bila dikejar dengan polis 😂

Tapi paling seronok sebab Pak cik tu pun sangatlah berbaik hati nasihatkan untuk buat rayuan sebab pertama kali kesalahan.

Lepas beberapa hari.. urusan saman menyamanpun dah selesai.

Terima kasih Tuan. Semoga Allah rahmati tuan.
(Terus panggil Tuan... bila dapat buat rayuan)


Pengajarannya, ingatlah orang yang tersayang. Tak pakai helmet boleh membahayakan pembonceng dan penunggang ya. Tak rasa hebat pun bila tak pakai helmet.. rasa nak menangis adalah kalau terserempak pak cik tu lagi.
Apapun duit boleh cari, nyawa?

Bersyukur sebab Allah nak tegur. Teguran Allah pula dengan bermacam-macam cara. Pengalaman mengajar kita macam-macam perkara.

Oleh: SN Hidayah

BBM3410/18: 60K

Asslamualaikum dan salam sejahtera.
Semoga Allah merahmati kalian dengan rahmat, Nur dan kasih sayang.



Nak kongsi pengalaman terakhir sebagai gadis penjual bunga. Alhamdulillah syukur masih diberi kepercayaan untuk mengendalikan jualan bunga orkid Rakan Bakti putra kali ini. Dengan Kak Hajar sebagai penyelia kami yang comel je.

Kaki sakit tapi mulut masih boleh senyum. Hasil jualan tinggi. Maka muka pun ceria secerianya.
Mana tidak, terkejut saya masa mesyuarat nak tetapkan sasaran keuntungan 60 k.
Telan ayaq liur laaa sambil ketaq tangan. Otak dah psiko, boleh ke tak, boleh ke tak ni.

Jangan kata sakit kaki, sakit pinggang yobbbb. Kena alihkan pasu bunga dengan berkali-kali jugalah, asal panas je kena masukkan ke gerai semula tak boleh letak luar nanti layu.
Macam-macam ragam pelanggan.. yang nak t-shirt saiz besar, yang nak pastri ayam tapi inti sardin, yang nak beli coklat yang harga 10 ringgit dengan harga 3 ringgit dan macam-mcam ragam. Setiap petang hujan pula tu, banjir kat dalam kawasan gerai. Bekerja keras kami alihkan semua benda takut basah. Berhuhulah kami yang ada di khemah.

Paling best bila dapat kongsi ilmu macam mana nak jaga bunga pada pelanggan. Sebab bunga orkid adalah salah satu pokok bunga yang paling cerewet kalau jaga, tak boleh kena panas, tak boleh sejuk sangat, tak boleh sentuh bunga dia sebab suhu badan kita akan rosakkan bunga dan macam-macam.
Tapi bila pokok dah keluar bunga memang rasa gembira tak ingatlah.

Dan Alhamdulillah semua berjalan lancar dari hari pertama hinggalah terakhir. Hari kedua hasil jualan turun sikit atas beberapa faktor. Akhirnya jualan hari ketiga dan keempat bangkit balik.
Hasil jualan pun melebihi sasaran. Tak nak sebut, takut riak pula hilang pahala. Tahun sebelum tambah tolak kami jual bunga dapat lebih 50k (Bukan jumlah tepat). Tapi tahun ini Alhamdulillah Allah beri lebih.

Yang pasti tersangat bersyukur pada illahi dan sangat berterima kasih kepada pegawai serta jentera-jentera yang terlibat gigih mengayuh basikal tak lupa kepada diri sendiri yang  datang juga pada hari terakhir jualan. Masa tu sebenarnya nak mengelat tak nak datang. Hari terakhir tulah paling sakitalan sakit tulang belakang Allah bantu. Semangat kena kuat demi nak bantu peajar-pelajar asnaf.

Niat satu, nak bantu orang yang susah macam mana orang lain dah bantu kami kerana Allah.

Pengajarannya bersyukurlah, jangan marah Tuhan kenapa turunkan hujan, atau kenapa panas sangat. Sebab apa yang berlaku itu Allah jadikan bersama rahmat.

Tahun depan belilah lagi, dengan cogan kata kami membeli sambil beramal! Semoga Allah murahkan rezeki kalian.

 Oleh: SN Hidayah

BBM3410/18:Proffku Masuk TV!


Assalamualaikum dan salam sejahtera. Semoga Allah merhmati kalian dengan rahmat nur dan kasih sayang.

Minggu ini kami diberi tugasan untuk menonton slot Al-hijrah dan tangkap gambar Prof masa tu. Angle mesti cantik. Prof masuk tv ya. Walaupun tiada tv di kolej, gigih buka youtube cari live stream Al-Hijrah. Walau macam manapun berjaya juga tngkap gambar Prof walaupun kualiti gambar tak berapa cantik.

Rabu jam 9.00 Pagi.


Topiknya sangat menarik iaitu Martabat Bahasa Melayu. Boleh cari ulangan di Youtube. Antara intipatinya ialah Prof menggalakkan bahawa kita seharusnya memulakan penggunaan bahasa yang baik. Membiasakan yang betul serta meninggalkan kebiasaan yang salah.  Kata prof lagi, dalam media sosial, generasi kini sangat gemar menggunakan  percampuran kod. Ada kalanya bahasa yang digunakan menjadi bahasa slanga yang mana hanya difahami oleh mereka sahaja.
Selain itu bahasa yang digunakan oleh orang yang bercakap akan mempengaruhi bahasa yang digunakan oleh si lawan cakap. Jika Bahasa Inggeris yang digunakan maka Bahasa Inggeris jugalah yang akan digunakan oleh orang yang diajak bercakap.

Untuk pemahaman lebih lanjut, bolehlah tonton siaran ulangan di Youtube.

Thursday, 1 November 2018

BBM3410/18:Definisi Pendidikan Menurut Tokoh Islam


Pandangan tokoh islam mengenai definisi Pendidikan.

 *AL-QARDHAWI
  Pendidikan bagi keseluruhan hidup termasuk akal dan hati, rohani, jasmani, akhlak dan 
  tingkah laku.


 * AS-SYAIBANI

  Proses mengubah tingkah laku individu dalam kehidupan peribadi, masyarakat dan 
  persekitarannya.
 *MOHD. QUTB

  Suatu proses membentuk manusia secara menyeluruh dan seimbang.

 *MOHD. ATHIYYAH AL-IBRASYI

  Proses pembinaan tingkah laku manusia yang berakhlak tinggi dan mulia di bawah teras 
  agama.

 *HAMKA
  Suatu proses yang boleh membentuk tingkahlaku yang baik, sikap yang berani serta budi 
  pekerti yang mulia.

Oleh: SN Hidayah